RAWATAN LASER😮
Rawatan laser merupakan salah satu cabang teknologi yang semakin meluas di Malaysia. Seiring dengan arus pemodenan, FATIN FARHANA JAPRE akui remaja masa kini lebih selangkah ke hadapan apabila bercakap soal kecantikan tidak kira dari segi luaran atau dalaman.
Jika dulu, produk kecantikan yang pelbagai di pasaran menjadi alternatif remaja untuk wajah nampak cantik, gebu dan ‘bercahaya’. Kini tidak lagi apabila mereka memilih rawatan laser untuk masalah kulit muka berminyak, membuang jeragat dan jerawat.
Lihat saja lambakan pelbagai jenama produk kecantikan di pasaran, semestinya anda semua pening mahu memilih yang mana benar-benar sesuai dengan kulit wajah. Namun dengan memilih rawatan laser, kulit wajah akan dinilai terlebih dahulu sebelum pakar estetik memberitahu kaedah laser yang sesuai mengikut masalah kulit wajah anda.
Remaja masa kini bukan saja gemar menggunakan kaedah laser untuk merawat kulit wajah bahkan kulit sekitar anggota badan yang bermasalah. Walaupun harganya agak mahal, mereka seakan-akan tidak kisah keluar duit asalkan kulit pulih dan menjadi seperti yang dimahukan.
Bagaimanapun, benarkah rawatan laser kaedah yang selamat dan tidak akan memudaratkan kulit wajah?
Menurut Pakar Estetik Dr Siti Maria Juwaini, laser adalah teknologi terkini di Malaysia dan cara rawatannya selamat kerana khusus pada masalah kulit. Bahkan sesi rawatannya juga dikendalikan oleh doktor terlatih yang pakar menganalisis masalah kulit.
Rawatan laser terdiri daripada dua jenis iaitu ‘Fractional Co2 Laser’ dan Q-switch Laser. Fractional Co2 Laser khas untuk remaja yang mengalami masalah parut jerawat, membuang tahi lalat dan keratosis pilaris. Manakala Q-switch pula untuk membuang tatu, membuang bulu, parut hitam jerawat dan carbon peel laser.
“Remaja biasanya mengalami masalah kulit berminyak, parut jerawat dan jeragat. Kewujudan teknologi terkini seperti laser mampu merawat masalah berikut tetapi bergantung pada masalah kulit. Contohnya, kutil, tahi lalat, dan bintik-bintik hitam boleh hilang hanya sekali laser.
“Bagi remaja yang menghadapi masalah kulit berminyak dan berjerawat, mereka perlu rawatan ‘carbon peel’ laser secara berkala setiap dua minggu untuk mengecilkan pori-pori muka dan membaiki struktur kulit supaya kurang berminyak. Masalah jeragat dan parut hitam jerawat pula menggunakan laser Q-switch selang dua minggu dan perlukan lima hingga lapan kali sesi rawatan.
“Remaja tidak perlu risau dengan kaedah terbaru ini kerana rawatan dibuat menggunakan mesin khas yang diluluskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Sebelum rawatan dilakukan wajah pelanggan akan disapu dengan krim kebas selama 30 minit kerana akan merasa sedikit sakit seakan-akan digigit semut apabila dilaser. Selesai rawatan pula, muka akan membengkak, namun akan surut selepas tiga atau lima hari.
“Kos rawatan pula sekitar RM250 hingga RM1,000 mengikut sesi pakej dan masalah kulit. Rawatan laser ‘PASTI’ menjadikan kulit wajah anda cantik seperti yang diidamkan. Bagi remaja yang berstatus pelajar dan mempunyai masalah kulit tidak perlu bimbang kerana di spa saya menawarkan diskaun 50 peratus untuk semua jenis masalah kulit,” katanya ketika ditemui di Anggun Medispa, Plaza Danau 2, Danau Desa Kuala Lumpur.
Menurut seorang pelanggannya, Siti Yusniza Husin, 24, sudah sekian lama dia mencari alternatif terbaik untuk menghilangkan jeragat di muka.
“Pelbagai produk kecantikan yang saya sudah cuba, namun hasilnya mengecewakan. Jeragat di wajah pula semakin banyak dan ramai rakan yang menegur membuatkan saya rasa malu. Setelah sekian lama, akhirnya saya berjumpa jalan penyelesaian masalah kulit saya dengan kaedah laser ini, “ katanya.
Lain pula bagi Haziq (bukan nama sebenar), 22, dia menghadapi masalah kulit yang dikenali sebagai ‘keratosis pilaris’ dan kini masih menjalani rawatan berkenaan untuk proses pemulihan.
“Sebelum ini saya ada mendapatkan rawatan dengan pakar kulit di sebuah hospital kerajaan tetapi saya hanya diberi krim sapu dan antibiotik kerana tiada peralatan dan mesin yang canggih untuk merawat masalah kulit saya.
“Dari segi kos rawatan pula, saya perlu menyediakan lebih kurang RM2,000 sehingga kulit saya benar-benar pulih,” katanya.
No comments:
Post a Comment